Iklim etika yang positif dan kondusif merupakan elemen yang penting bagi mengekalkan pekerja untuk terus bekerja di dalam sesebuah organisasi. Justeru itu, tujuan utama kajian ini dijalankan adalah bagi mengenalpasti kesan iklim etika terhadap niat pusing ganti di sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Kuala Lumpur. Seramai 104 pekerja bukan eksekutif daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Kuala Lumpur dipilih sebagai responden kajian ini. Alat-alat pengukuran yang digunakan dalam pengumpulan data merangkumi Soal Selidik Iklim Etika oleh Victor dan Cullen (1987) dan Skala Niat Pusing Ganti (TIS-6) oleh Roodt (2004). Data kajian dianalisis menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Analisis Permodelan Persamaan Struktur-Kuasa Dua Terkecil Separa (SEM PLS) digunakan untuk menilai model hipotesisi yang menghubungkan kesemua konstruk dengan menggunakan aplikasi Smart PLS versi 3.0. Hasil kajian mengesahkan bahawa iklim etika mempunyai kesan yang siginifikan dan negatif terhadap niat pusing ganti. Ini membuktikan bahawa iklim etika yang baik dalam organisasi, telah menyebabkan keinginan pekerja untuk berhenti dalam organisasi adalah rendah dalam kalangan pekerja bukan eksekutif di syarikat berkaitan kerajaan di Kuala Lumpur. Akhirnya, cadangan-cadangan turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan tersebut.