Persoalan kepemimpinan di menara gading bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Kepemimpinan universiti yang baik dapat merencanakan perjalanan program pendidikan tinggi yang berdaya saing dan penghasilan siswa-siswi yang dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan negara. Pelbagai perbincangan ilmiah telah dizahirkan untuk menekankan peri pentingnya kaedah mengurus dan mentadbir sesebuah universiti dengan kaedah kepemimpinan yang mapan dan tepat. Ini bagi memastikan hala tuju universiti sentiasa selaras dengan aspirasi dan kehendak para pemegang taruhnya. Program kepemimpinan berasaskan qalb merupakan salah satu program latihan kepemimpinan akademik yang telah dikendalikan oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) sejak tahun 2016 sehinggalah ke hari ini. Dalam program latihan kepemimpinan akademik ini, modul yang digunakan mengetengahkan konsep empat sifat mulia yang utama (four cardinal virtues) iaitu: hikmah, adil, berani dan kawalan diri, yang merupakan antara kebijaksanaan klasik mengenai pembentukan sifat-sifat peribadi yang mulia. Makalah ini akan menjelaskan pandangan dan huraian daripada al-Ghazali (450-505H/1058-1111M) mengenai perkara ini melalui metode analisis teks ke atas Iḥyā’c Ulūm al-Dīn (1982) menerusi Kitāb Riyāḍah al-Nafs wa Tahdhīb al-Akhlāq wa Mu c ālajāt Amrāḍ al-Qalb. Kaedah penyelidikan kuantitatif digunakan dalam makalah ini untuk mengenal pasti perbincangan-perbincangan utama berkenaan empat sifat yang mulia ini dan bagaimana penghayatan kepada perkara ini berupaya melahirkan pemimpin yang berkaliber dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang cemerlang. Konsep dan amalan latihan jiwa (Riyāḍah al-Nafs) yang dianjurkan oleh al-Ghazali amat sesuai diaplikasikan dalam latihan kepemimpinan akademik universiti kerana menekankan pembentukan individu yang baik sebagai asas utama kepada pembentukan masyarakat yang bestari, berintegriti dan berbudaya tinggi.