Kajian ini bertujuan untuk mengkaji persepsi pelajar Ijazah Sarjana Muda Geografi terhadap penggunaan aplikasi myCuaca dalam persekitaran kampus lestari daripada aspek pengetahuan, sikap dan amalan penggunaan aplikasi myCuaca. Aplikasi myCuaca amat penting diketahui kerana dapat membantu memberi maklumat semasa cuaca dan menghindari kesan bencana. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan melalui instrumen soal selidik digunakan dalam kajian ini. Seramai 108 responden daripada pelajar Sarjana Muda pendidikan (ISMP) Geografi bagi Tahun 2020 dipilih melalui kaedah pensampelan secara rawak mudah. Analisis deskriptif (kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai) serta analisis inferensi (korelasi Pearson dan Ujian-t) digunakan untuk menjawab persoalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan tahap pengetahuan (M= 2.83, SP= 0.41), sikap (M= 2.84, SP= 0.37) dan amalan penggunaan aplikasi myCuaca (M= 2.65, SP= 0.50) berada pada tahap yang sederhana. Seterusnya hasil dapatan daripada analisis korelasi Pearson mendapati bahawa wujud hubungan yang positif dan signifikan antara pengetahuan dengan sikap penggunaan aplikasi myCuaca (r= 0.621, p= 0.000). Seterusnya, hubungan pengetahuan dengan amalan penggunaan aplikasi myCuaca juga menunjukkan hubungan yang signifikan (r= 0.520, p= 0.000) dan hubungan sikap dengan amalan penggunaan aplikasi myCuaca juga adalah signifikan (r= 0.590, p= 0.000). Manakala, bagi Ujian-t pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap pengetahuan, sikap dan amalan penggunaan aplikasi myCuaca dalam kalangan pelajar ISMP Geografi berdasarkan jantina dengan nilai tahap pengetahuan [t= 0.06, sig= 0.95 (p> 0.05)], sikap [t= 0.47, sig= 0.64 (p> 0.05)] dan amalan [t=-0.11, sig= 0.951 (p> 0.05)]. Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan tahap pengetahuan, sikap dan amalan penggunaan aplikasi myCuaca dalam kalangan mahasiswa Geografi adalah sederhana. Dapatan hasil analisis korelasi turut menunjukkan terdapat hubungan antara kesemua pemboleh ubah kajian. Maka adalah wajar bahawa pemboleh ubah kajian yang dikaji diambil kira untuk meningkatkan penggunaan aplikasi myCuaca. Â