Matlamat kajian ini ialah untuk melihat hubungan kepuasan komunikasi dengan komitmen terhadap organisasi di kalangan pekerja teknikal di Flextronics International, Senai, Johor. Objektif kajian ialah untuk mengenalpasti tahap kepuasan komunikasi dan tahap komitmen, mengenalpasti hubungan antara kepuasan komunikasi dan komitmen, melihat faktor kepuasan komunikasi yang paling mempengaruhi komitmen dan mengenalpasti perbezaan tahap komitmen dan tahap kepuasan komunikasi berdasarkan demografi. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini ialah Communication Audit Questionnaire (Down and Hazen, 1990) dan Organizational Commitment Questionnaire (Mowday, Porter and Steers, 1982). Seramai 132 orang responden terlibat dalam kajian ini. Data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap kepuasan komunikasi dan tahap komitmen berada di tahap sederhana. Keputusan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif signifikan antara kepuasan komunikasi dan komitmen di kalangan responden. Berdasarkan analisis regresi berganda pula, faktor kepuasan komunikasi yang paling mempengaruhi komitmen ialah komunikasi pengarahan tugas dan maklumbalas individu. Sementara itu, hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan tahap kepuasan komunikasi yang signifikan berdasarkan bangsa, taraf perkahwinan manakala bagi perbezaan tahap komitmen berdasarkan demografi, hanya taraf perkahwinan sahaja yang menunjukkan perbezaan yang signifikan.