Modul Kelompok Bimbingan Integrasi REBT-Tazkiyah An-Nafs dibina untuk membimbing pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat di Darul Quran, JAKIM bagi meningkatkan motivasi, kecerdasan emosi dan resiliensi. Modul Kelompok Bimbingan Integrasi REBT-Tazkiyah An-Nafs mengandungi tujuh submodul berasaskan pendekatan tingkah laku berdasarkan teori Rational Emotive Behaviour Therapy (REBT) oleh Albert Ellis dan diintegrasikan dengan Tazkiyah An-Nafs oleh Al-Ghazali. Bagi mengukur kesahan kandungan, kaedah perakuan oleh 13 orang pakar telah digunakan manakala 30 orang pelajar Diploma Tahfiz semester 2 telah dipilih untuk mengikuti kelompok bimbingan menggunakan modul ini selama lapan minggu berturut-turut. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Modul Kelompok Bimbingan Integrasi REBT-Tazkiyah An-Nafs mempunyai nilai indeks kesahan kandungan yang tinggi iaitu. 90, nilai pekali Cronbach’s Alpha Modul Kelompok Bimbingan Integrasi REBT-Tazkiyah An-Nafs adalah tinggi iaitu. 97. Kesimpulanya, Modul Kelompok Bimbingan Integrasi REBT-Tazkiyah An-Nafs merupakan satu sumbangan baharu kepada pengamal bimbingan dan kaunseling di Malaysia serta sesuai digunakan dalam konteks tempatan. Modul ini boleh digunakan oleh Kaunselor, Guru mahupun fasilitator sebagai salah satu alternatif intervensi terhadap pelajar sekolah menengah mahupun di institusi pengajian tinggi.